Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Logo Rasmi Sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Diperkenal

By 13 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur merangkumi hubungan dua hala Malaysia dan Jepun pada tahun ini, mendapat suntikan istimewa menerusi pengenalan logo rasmi acara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku Sekretariat Nasional Dasar Pandang Ke Timur berkata pertandingan mencipta logo anjurannya telah diadakan pada 26 Okt hingga 20 Nov, 2021 bagi meraikan dasar yang diperkenalkan oleh Malaysia pada 1982.

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata barisan panel penilai mewakilinya, Kementerian Luar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kedutaan Besar Jepun di Malaysia telah sebulat suara memilih logo rekaan Koo Kon Hen dari Kuala Lumpur daripada sejumlah 171 penyertaan dari Malaysia dan Jepun.

“Selain sebagai logo rasmi sambutan, acara mencipta logo ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kejayaan pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur serta sumbangannya dalam pembangunan sosioekonomi negara.

“Logo tersebut menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun melalui garis berjalur menggunakan warna kebangsaan kedua-dua negara,” katanya.

Menurut MITI, Dasar Pandang ke Timur telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan sosioekonomi negara, terutama dari sudut hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala serta pembangunan modal insan.

Dalam tempoh 40 tahun itu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun telah meningkat melebihi 290 peratus dengan nilai sebanyak RM124.14 bilion (US$29.60 bilion) telah direkodkan pada 2020, sekali gus menjadikan Jepun sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga November 2021, jumlah perdagangan Malaysia dan Jepun telah meningkat sebanyak 20.8 peratus kepada RM135.01 bilion (US$32.63 bilion) berbanding tempoh sama pada 2020.

Selain itu, Jepun juga merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia bagi projek-projek yang telah dilaksanakan.

Menurut MITI, sehingga Jun 2021, sejumlah 2,768 projek pembuatan telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM91.5 bilion (US$21.9 bilion).

Bagi aspek pembangunan modal insan, kolaboratif strategik antara JPA dan institusi-institusi berkaitan di Jepun telah memberi manfaat kepada 17,062 rakyat Malaysia, termasuk 6,715 pelajar Malaysia yang menerima biasiswa melanjutkan pengajian di Jepun dalam bidang keutamaan seperti kejuruteraan, sains dan teknologi.

“Seramai 10,347 pegawai kerajaan turut menyertai pelbagai program latihan seperti pengurusan dan kemahiran teknik,” katanya.

Menurut MITI, bagi memeriahkan lagi sambutan ke-40 itu, kementerian berkenaan turut mengalu-alukan sebarang cadangan program-program yang boleh dilaksanakan sepanjang 2022.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/8195.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda