Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lukisan Mural Tarikan Baharu Aktiviti Pelancongan di Batang Padang

By 23 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhannis Hj Idris/Mohamad Faizzad Kamal (Batang Padang)

TAPAH, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Dari sebuah pekan yang lesu dan dianggap sebagai pekan koboi, Majlis Daerah Tapah (MDT) mengambil inisiatif menjalankan projek lukisan mural 3D dan Fun Map Batang Padang yang dilihat mampu menjadi satu tarikan baharu dalam usaha mengaktifkan semula aktiviti pelancongan di Bandar Tapah.

Yang Dipertua MDT, Haji Muhamad Sahlan Husnin berkata, projek hasil kreativiti dari Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak tersebut merupakan salah satu usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara untuk singgah ke bandar Tapah dan meletakkan Tapah di dalam peta pelancongan Negeri Perak khususnya dan amnya Malaysia.

Projek Fasa 1 ini, menerima peruntukan sebanyak RM80,000 di bawah Tourism Perak membabitkan lukisan mural di dua lorong belakang bangunan perniagaan di Jalan Persekutuan 1 yang melibatkan deretan 17 premis kedai.

Tapah Street Arts Mural salah satu keunikan di Tapah, Batang Padang.

Tapah Street Arts Mural salah satu keunikan di Tapah, Batang Padang.

“Lukisan mural sejauh 4000 meter persegi ini bertemakan ciri-ciri keunikan dan sejarah di Tapah seperti Ikan Tapah, Ayam Sabung (sejarah Pak Kaduk), Jambu Batu, Petai, Lata Kinjang, Fun Map Batang Padang, dan lain-lain,” katanya selepas melakukan lawatan ke projek tersebut.

Tujuan penyediaan Fun Map Batang Padang adalah sebagai bahan maklumat yang mengandungi beberapa lokasi pelancongan menarik yang terdapat di daerah Batang Padang serta senarai tempat penginapan.

Tambah beliau lagi, projek ini juga secara tidak langsung menghidupkan lorong-lorong bangunan yang tidak terjaga tetapi selamat dan strategik.

Pengunjung mengambil peluang bergambar di salah satu lukisan mural yang terdapat di Tapah Street Arts Mural.

Pengunjung mengambil peluang bergambar di salah satu lukisan mural yang terdapat di Tapah Street Arts Mural.

Majlis Daerah Tapah melalui Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak turut mencadangkan, untuk memeriahkan lorong tersebut dengan penganjuran Bazar Malam Seni di lorong yang sama, setiap hari Sabtu malam Ahad yang akan beroperasi dari jam 6.00 petang hingga 12.00 malam yang mana mampu membuka peluang kepada anak-anak muda berniaga dan mempamerkan hasil barangan jualan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berharap, Tapah Streets Art Mural ini dapat membangkitkan semula bandar Tapah sebagai salah satu tarikan baharu untuk dilawati oleh pengunjung dan pelancong yang akan singgah di Tapah.

“Saya berharap agar tempat-tempat pelancongan dalam daerah Batang Padang dapat diperkenalkan dan dipromosikan dengan lebih meluas, tidak hanya dalam Malaysia malah ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tapah Street Arts Mural & Fun Map Batang Padang, semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda