Laporan: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Memetik laporan Utusan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kini memasang tiga buah perangkap harimau belang di dua buah kampung iaitu dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai bagi menjejaki harimau berkenaan yang dikesan berkeliaran di perkampungan Orang Asli Pos Bihai sejak semalam.
Jabatan tersebut menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan menjelaskan pihak jabatan masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan orang asli tersebut berikutan aduan berkenaan harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan.
“Pihak jabatan sentiasa memantau dan memberi taklimat kepada penduduk kampung dari masa ke masa berkenaan perjalanan operasi mengesan dan menangkap harimau belang serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di luar kawasan rumah.
“Orang ramai adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN Negeri,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
PERHILITAN turut memaklumkan hasil daripada Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) mendapati majoriti daripada populasi Harimau Malaya berada di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia terutama di kompleks Taman Negara-Banjaran Titiwangsa.
-RI