Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Arah Aliran Peningkatan Kes Baharu pada Minggu Epidemiologi Keempat

By 1 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) keempat yang bermula dari 23 Januari hingga 29 Januari 2022 meningkat sebanyak 34.6 peratus kepada 31,980 kes daripada 23,752 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 14 peratus dengan purata 40,473 kes pada ME ketiga (dari 16 hingga 22 Januari 2022) kepada 46,158 kes pada ME keempat.

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 27.5 peratus sehingga mencapai dua angka iaitu dengan 74 kematian pada ME keempat berbanding 102 kematian pada ME ketiga.

“Penurunan ini dicatatkan semenjak ME 52/2021. Untuk makluman, kali terakhir kes kematian mingguan mencatat angka dua digit adalah pada ME 17/2021 iaitu sebanyak 95 kes,” katanya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19 semalam.

Selain itu, beliau berkata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan sebanyak 15.5 peratus iaitu 109 kes pada ME keempat berbanding 129 kes pada ME ketiga.

Dr Noor Hisham berkata purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan sebanyak 11.5 peratus iaitu 46 kes pada ME keempat berbanding 52 kes pada ME ketiga.

Berhubung penggunaan katil hospital, beliau berkata kenaikan kes COVID-19 yang berkaitan dengan varian Omicron telah menyebabkan peningkatan sebanyak tiga peratus.

“Selain itu, penggunaan katil PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) juga menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus berikutan peningkatan kluster pendidikan di mana pelajar asrama akan dimasukkan ke PKRC sekiranya tiada tempat isolasi yang sesuai bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelajar lain dan juga komuniti,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat 106 kluster baharu dilaporkan pada ME keempat iaitu 81 daripadanya ialah kluster pusat pendidikan, 19 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah kes baharu harian COVID-19 dalam negara menurun kepada 4,774 kes semalam, berbanding 4,915 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif 2,870,758 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, 36 kes adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala bakinya Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 4,774 kes itu, sebanyak 152 adalah kes import dan 4,622 kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 114 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 3,232 kes sembuh turut dilaporkan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda