Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Intervensi Kerajaan Jamin Kestabilan Harga Ayam Standard

By 2 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuatkuasa Sabtu ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sekiranya kerajaan tidak melaksanakan langkah itu, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram susulan peningkatan kos penternakan ayam sebanyak 70 peratus.

“Dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari lepas, mesyuarat telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya.

“Berikutan peningkatan kos pengeluaran, maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan, selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL.

Nanta berkata harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan dibuat berdasarkan lokasi.

Beliau berkata harga runcit itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 sekilogram ketika Deepavali lepas, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) (7 hingga 31 Disember lepas) dan RM9.10 ketika (SHMKM) (1 hingga 4 Februari).

“Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

Nanta berkata pihaknya sentiasa menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin dari segi bekalan serta mengelak berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat.

Katanya hasil Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan mengenai pelan tindakan jangka panjang berkaitan bekalan makanan yang akan dipengerusikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak lama lagi akan dilaporkan ke Mesyuarat NACCOL akan datang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda