Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Keluarga Malaysia Berperanan Kukuh Ekosistem Siber Negara

By 8 Februari 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Keluarga Malaysia perlu memainkan peranan untuk menangani ancaman dan jenayah siber dengan membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perkongsian di Facebook sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 hari ini, berkata peranan Keluarga Malaysia juga penting dalam mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.

“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain dengan mengamalkan kaedah (K)omunikasi, mengambil kira (I)nklusif dan (T)anggungjawab di samping meningkatkan ke(A)kraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni,” katanya.

Sambutan Hari Keselamatan Internet – Edisi Malaysia tahun ini bertemakan K.I.T.A Siber.

Ismail Sabri berkata ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kebanyakan Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan dan ia menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial.

Beliau berkata situasi itu menyebabkan orang ramai alpa untuk menjaga adab dan etika dalam dunia siber.

Katanya walaupun teknologi digital banyak membantu serta melancarkan aktiviti harian, penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuk dalam penggunaan Internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda