Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kuala Lumpur Harus Bersedia Depani Cabaran, Pastikan Tiada Golongan Terpinggir

By 6 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Kuala Lumpur yang meniti usia separuh abad tahun ini harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta memastikan tiada golongan yang dipinggirkan selaras prinsip Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip tiada yang dipinggirkan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bandar raya ini perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

“Bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir bandar raya Kuala Lumpur. Golongan B40 misalnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur malam tadi.

Pembentukan bandar raya yang mampan untuk semua perlu mengambil kira keperluan ekonomi sesebuah bandar malah tarikan sebenar sesebuah bandar raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan, katanya.

“Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang,” katanya.

“Suara dan pandangan mereka inilah yang akan menggerakkan usaha kerajaan. Khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata warga kota merupakan tunjang keutuhan Kuala Lumpur dan kewujudan media baharu telah mendekatkan mereka dengan pentadbir bagi menyuarakan suara dan pandangan dalam pembangunan ibu negara.

Mengimbau sejarah bandar raya pertama di Malaysia itu, beliau berkata Kuala Lumpur yang dahulunya sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi serta dipenuhi rumah-rumah atap nipah, kini meriah dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan perkembangan pesat penempatan penduduk.

Katanya, dunia juga terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan kini, Menara Merdeka 118 merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pada ketinggian 678.9 meter.

Beliau berkata penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat saban tahun dengan kini dianggarkan berjumlah lapan juta orang susulan pertumbuhan pesat ekonomi.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda