
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Mohd. Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 150 orang peserta menyertai Kayuhan Santai Alam sempena Program Konservasi Geopark, Hello Environment! anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama e-Idaman, Pejabat Daerah Langkawi, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi lain bermula di Pantai Chenang, Pulau Langkawi semalam.
Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga merupakan Penaung Diraja Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) sudi mencemar duli bagi melancarkan Program Konservasi Geopark dan turut serta dalam kayuhan santai yang meliputi laluan sekitar 25 km di sekitar perkampungan dan desa berdekatan.
“Masyarakat Malaysia umumnya dan khususnya komuniti Langkawi perlu terus memelihara dan memulihara kelastarian alam berikutan Langkawi diiktiraf sebagai LUGGp dan ini merupakan sebuah anugerah yang tidak ternilai. Ianya perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya Langkawi terus mencipta nama di persada antarabangsa,” ujar beliau ketika ditemui semalam.
-ZS-