Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sebuah lori tangki membawa muatan gas karbon dioksida terlibat kemalangan dengan sebuah Toyota Vellfire di Kilometer 36.2 Lebuhraya Karak menghala ke Gombak semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata ketika sampai ditempat kejadian, Toyota Vellfire telah dilanggar pada bahagian belakang oleh lori tangki yang sebelum itu telah terbabas akibat cuaca hujan dan jalan licin.
Katanya, lori berkenaan telah terbabas ke longkang sebelah kiri jalan sebelum terbalik dan menyebabkan berlaku kebocoran pada tangki.
Zainal memaklumkan, ambulan dari Hospital Selayang telah sampai di lokasi kemalangan dan mengesahkan semua yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 13 saat memaparkan kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa muatan gas di Lebuhraya Karak.
-ZS-