Laporan/foto: Suhaidiah Sulim (PKPM)/Mohd KhairulNizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
JEMPOL, 20 April (Malaysiaaktif) – Pelancaran Program Duta Komuniti peringkat Negeri Sembilan secara rasminya telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Haji Mohd Salim bin Mohd Sharif, Ahli Parlimen Jempol.
Program Duta Komuniti (DK) adalah program berasaskan kesukarelawan dan melibatkan sembilan agensi.
Peranan utama Program Duta Komuniti adalah membudayakan kawalan kendiri oleh komuniti semasa fasa peralihan endemik. Menggalakkan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Garis Panduan (GP) ketika #ReopeningSafely.
Selain itu, Duta Komuniti yang dilantik digalakkan untuk memantau di kawasan berisiko tinggi (sesak, kawasan tertutup) dan mengingatkan rakyat sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat serta menilai serta mengelakkan risiko penularan COVID-19 dalam aktiviti harian.
Setiap Duta Komuniti akan berfungsi sebagai ejen di lapangan yang menjalankan tanggungjawab seperti yang ditetapkan berdasarkan konsep 3M iaitu MENGINGATKAN, MENEGUR dan MENGGALAKKAN pematuhan SOP.
“Program ini sangat penting kepada rakyat Malaysia kerana sebagaimana yang kita tahu negara berada dalam fasa endemik. Ini bermakna kita perlu hidup bersama COVID-19 dan rakyat mungkin ingin tahu bagaimana SOP yang perlu dilaksanakan. Kerajaan meletakkan kepentingan menjaga diri kepada rakyat,” kata Salim semasa majlis tersebut.
-ZS-