Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 23 April (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru untuk mensyukuri nikmat yang dirasai apabila pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan selepas negara memasuki fasa endemik.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Ab Rasil Hajatil, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan dengan tindakan-tindakan seperti terus mematuhi SOP dan arahan pihak berkuasa dari masa ke masa dalam memerangi COVID-19 serta menyebarkan nilai-nilai murni kepada masyarakat khususnya di bulan yang mulia ini.
“Pelbagai kelonggaran sudah kita nikmati, masjid dan surau sudah boleh dipenuhi, perniagaan lebih terbuka, sempadan negara juga sudah terbuka dan lain-lain kelonggaran yang mampu merancakkan semula ekonomi serta kehidupan rakyat.
“Sudah tentu rakyat Malaysia terutamanya umat Islam menyambut peralihan ini dengan cukup gembira dan rasa kesyukuran, lebih – lebih lagi ianya hadir semasa bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya semasa merasmikan Program Info on Wheels@Ramadan, Jabatan Penerangan W.P Labuan 2022 dengan kerjasama Masjid Kampung Sungai Bedaun dan Petra Resources Sdn. Bhd, petang tadi.
-ZS-