Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Masyarakat di pulau ini diseru untuk mengambil tindakan serta-merta dalam usaha memerangi penularan kes demam denggi di persekitaran mereka.
Menurut Pegawai Perubatan Unit Vektor Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Suppiah Anarsalam komuniti diseru untuk mengambil tindakan membantu pihaknya mengawal kes demam denggi yang menunjukkan peningkatan di pulau itu.
“Luangkan 10 minit setiap minggu untuk memastikan persekitaran dalam dan luar kawasan kediaman bersih dan tidak berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Selain menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata, orang ramai juga boleh menggunakan racun pembunuh jentik-jentik dan boleh juga dapatkannya daripada pihak kami,” katanya semasa bersiaran dalam Program ‘Facebook Live: Setagal Bersama JaPen’, di sini semalam.
Jelasnya kerjasama segera daripada komuniti amat penting kerana faktor persekitaran di beberapa lokasi di Labuan menyebabkan nyamuk aedes mudah membiak.
“Kita sudah aktifkan Gerak Gempur Aedes terutama di kawasan-kawasan panas dengan bantuan pemimpin-pemimpin masyarakat namun kita dapati kerjasama dari komuniti masih rendah,” jelasnya.
-ZS-