Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga Labuan Sokong Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

By 20 Julai 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Warga Labuan menyokong penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi menangani isu inflasi serta kos sara hidup di negara ini.

Menurut Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Labuan Datuk Chan She Chung, pasukan itu boleh mengambil tindakan untuk mengawal inflasi serta aktiviti menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati.

“Pasukan ini perlu ambil kira pandangan semua pihak terutama NGO Pengguna untuk menangani kenaikan kos sara hidup serta terus mendidik pengguna memahami isu-isu semasa yang melibatkan pengguna,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Bagi Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun Labuan Paul Ipoh Leokin tindakan kerajaan itu merupakan bukti bahawa kerajaan tidak lepas tangan dalam menangani isu harga barang yang kian mendesak.

“Pasukan itu juga boleh berperanan menyalurkan maklumat kepada para media dan seterusnya menghebahkan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat mengenai situasi yang dihadapi dalam negara ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) Ahmad Nazri Jamal menyambut baik penubuhan pasukan khas tersebut dan berharap ianya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Diharapkan pasukan ini mampu mencapai objektif yang ditetapkan, tambahan Labuan antara yang terkesan dengan kenaikan harga barangan dan seharusnya Labuan boleh menjadi penanda aras kenaikan harga barang bagi mengelakkan inflasi,” tambahnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda