Laporan/foto: Eviannie Kin
KOTA KINABALU, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Melihat hasil pertanian yang cepat rosak dan buruk punca tercetusnya idea untuk menghasil produk serbuk yang lebih tahan lama.
Demikian kata usahawan sosial, Anjelen Daransun, 45 yang berasal dari Tamparuli yang kini mempunyai pelbagai produk serbuk tempatan yang diproses dari halia, cili padi, kunyit, tuhau, kayu manis dan serai.
“Saya berkecimpung bidang ini apabila para petani di kampung saya memohon bantuan untuk menjual hasil pertanian mereka.
“Mula-mula saya tidak pandai menjual kerana tidak tahu di mana mahu menjual hasil tani mereka.
“Tetapi kini sembilan petani dari kawasan Tamparuli, Pensiangan dan Kota Belud konsisten menghantar hasil pertanian mereka kepada saya untuk diproses menjadi serbuk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Anjelen juga merupakan ahli Persatuan Keusahawanan Sosial Sabah (SOSEA) yang mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dari aspek pendedahan peluang dan ruang dalam komuniti perniagaan di Sabah.
-ZS-