Laporan/foto: Sharifah Anita Wafa (PRO PUO Ipoh)/Politeknik Ungku Omar
IPOH, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 1700 pelajar dari pelbagai program pengajian di Politeknik Ungku Omar (PUO) menerima tablet di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dengan agihan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, baru-baru ini.
Pelajar, Noor Azizah Hamid, 19, menyatakan kesyukuran atas penerimaan peranti tersebut sejurus permohonan diluluskan.
“Tablet ini amat penting kepada pelajar kerana bagi saya yang mengambil bidang Teknologi Maklumat, penggunaan teknologi dapat digunakan secara optimum,” katanya.
Sementara itu, pelajar Diploma Seni Bina, Wong Rui Hua, 19, berkata peranti yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya dan digunakan untuk memuat turun aplikasi yang bersesuaian dengan pembelajaran.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan agihan peranti ini sebagai satu inisiatif membantu proses pembelajaran mahasiswa dalam kelompok B40.
-ZS-