Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)/Media MAINS
KUALA PILAH, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Setelah dua tahun tidak dapat mengadakan perarakan Maulidur Rasul dalam skala yang besar, Karnival Maulidur Rasul 1444H yang diadakan di Seri Menanti di sini baru-baru ini telah menarik penyertaan yang baik daripada agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan.
Menurut salah seorang peserta, Afiq Raduan, 28, program ini bukan sekadar laungan selawat malah turut melibatkan pelbagai agensi berkaitan kesihatan seperti kenderaan pemeriksaan bergerak Institut Jantung Negara dan Pergigian Daerah Kuala Pilah yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada para pengunjung.
Majlis yang dimulakan dengan perarakan dari Seri Menanti Resort ke perkarangan Masjid DiRaja Tuanku Munawir itu turut disertai Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Dato’ Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir kemudian diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah bebas, Dato’ Badli Shah Alauddin.
Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan tambahan kepada asnaf di Seri Menanti.
-ZS-