Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 27 Okt (Malaysiaaktif) – Teknologi fertigasi adalah teknik penanaman moden yang telah terbukti memberi kesan yang baik serta berpotensi memberikan pulangan lumayan kepada tanaman sayuran dan buah-buahan seperti timun, cili, terung, kobis, strawberi, anggur dan melon.
Pokok-pokok akan ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah seperti cocopeat dan sekam yang digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti dan mudah digunakan.
Menurut Pegawai Pertanian Daerah Batu Pahat Normala A. Manaf kaedah fertigasi bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga, kulat dan bakteria yang berpunca daripada tanah.
“Fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional antaranya mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa, meningkatkan produktiviti dan kualiti,” ujarnya lagi ketika ditemu bual di program Sembang Santai di Peserai, di sini baru-baru ini.
-ZS-