Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/WAKAL
LABUAN, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Program ‘Samangat Berparadian Kadayan Seborneo’ anjuran bersama Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) dan Persatuan Kebudayaaan, Muzik dan Kesenian Kadayan Labuan (KUMALA) menghidupkan amalan badudun atau berziarah dalam kalangan masyarakat etnik tersebut.
Menurut Ketua Biro Kebudayaan Adat dan Warisan WAKAL Nordin Kadir, program itu menerima kunjungan lawatan wakil-wakil kaum Kadayan dari Sabah, Sarawak dan negara Brunei Darussalam.
“Objektif lawatan itu adalah sebagai langkah permulaan untuk meneruskan legasi amalan kaum Kadayan badudun dengan pelbagai pengisian seperti bergendang bermukun sambut tamu, bacaan doa selamat, menanam anak pokok, persembahan drama lagenda Dang Sulandih dan menjamu selera dengan menu tradisional Hambuyat Semangkuk Agung di Pantai Sunrise, Kampung Tanjung Aru Nelayan,” katanya yang ditemui pada program itu semalam.
Tambahnya, program yang dihadiri kira-kira 50 orang tetamu itu turut diserikan dengan majlis menanam pokok yang dilaksanakan oleh ketua-ketua adat dari Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Labuan.
-ZS-