Laporan/foto: Mohammad Rasuli Ras-Nazeruddin (Bagan Datuk)
HILIR PERAK, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Dataran Menara Condong Teluk Intan buat pertama kalinya digegarkan dengan paluan gendang dan tarian sempena Festival Gendang Malaysia dan Tari Joget Pahang 2022.
Festival selama dua hari yang berakhir pada Sabtu itu menggabungkan pelbagai saiz dan jenis gendang yang mewakili beberapa kaum di Malaysia.
“Teluk Intan dipilih sebagai lokasi penganjuran oleh Wafa Galery selaku penganjur bersama adalah untuk membantu para penggiat seni tempatan dalam melaksanakan aktiviti seni dan budaya agar khazanah warisan ini terus kekal,” ujar Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dr Tan Awang Besar dalam ucapan perasmiannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Dato’ Zainol Fadzi Paharudin juga menyatakan sokongan daripada pihak MOTAC kepada persatuan seni dan kebudayaan sebegini diharap bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi seni budaya dan warisan bangsa malah pada masa yang sama turut membantu meningkatkan lagi ekonomi penduduk tempatan.
-ZS-