Laporan/foto: Zaidy Salim
PUTRAJAYA, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengumumkan akan memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga yang lebih murah, iaitu RM5 sebulan yang ditawarkan dipasaran Februari tahun depan, umum menteri KKD, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pakej ini bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan Internet yang merupakan utiliti asas diperlukan oleh rakyat.
Pakej Perpaduan ini disasarkan untuk dinikmati oleh golongan belia, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran polis. Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.
“Pakej prabayar dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan Internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps dengan kuota dinaikkan daripada 20GB untuk tiga bulan (90 hari) kepada 30GB untuk tempoh lebih lama iaitu selama enam bulan (180 hari).
“Pengguna akan menikmati penjimatan harga sebanyak 50% berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan,” katanya semasa sidang media selepas beliau melakukan tinjauan persediaan Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi dan Digital, di mana Tabung Bantuan Bencana KKD akan menyalurkan bantuan RM1 juta.
“Pakej prabayar ini merupakan pakej asas yang disediakan dan terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini,” tambahnya lagi.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Sukari Ab Hamid.
-ZS-