Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Muhammad Azrul Mubarak
PONTIAN, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian yang sebelum ini mengambil masa hampir satu setengah jam kini dapat disingkatkan kepada hanya 30 minit setelah pembukaan Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Tanjung Pelepas daerah Johor Bahru ke Tanjung Bin di Daerah Pontian.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merasmikan Pembukaan Jambatan Sungai Pulai berasa teruja dengan pembukaan jambatan tersebut berkata jambatan baru itu mampu menjadi pengubah keadaan kepada kemajuan ekonomi khususnya dalam bidang eko-pelancongan di Parlimen Tanjung Piai yang terkenal dengan hutan paya bakau semulajadi yang indah.
“Dengan pembukaan jambatan tersebut kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan terutamanya di Jalan Pontian Kechil ke Johor Bahru. Sebelum ini Pekan Nenas merupakan jalan utama antara kedua-dua daerah tersebut.
“Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer yang menelan kos sebanyak RM800 juta telah mula dibina semenjak bulan November 2017 dan ia merupakan projek awam-swasta melalui Seaport Worldwide Sdn. Bhd. dibawah Kumpulan MMC Corporation Berhad,” katanya.
-ZS-