Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
KAJANG, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 195 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama 67 pegawai pemantau harga (PPH) komited menyelia pematuhan peniaga di negeri berkenaan bermula 15 Januari lalu hingga 29 Januari.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata pemantauan terhadap penjualan barangan harga terkawal itu di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina.
“Tujuan pemeriksaan untuk membuat tinjauan tahap kesediaan dan kerjasama pematuhan peniaga di bawah penguatkuasaan skim ini.
“Pasukan pemeriksa juga berpeluang mendekati peniaga dan wujudkan libat urus serta advokasi bersama peniaga,” katanya kepada media selepas memyertai pemeriksaan di sebuah pasar raya di Cheras semalam.
Mohd Zuhairi berkata, pihaknya turut dapat mendengar reaksi balas pengguna secara ‘real time’ berhubung skim berkenaan.
“Pasukan pemeriksaan dapat memberikan advokasi kepenggunaan secara terus kepada pengguna di lokasi pemeriksaan.
“Ia juga bagi memastikan prestasi pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong konsisten pada tahap yang baik,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat lapan jenis barangan harga terkawal telah diwartakan iaitu kubis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
-ZS-