Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

94 KRT Lembah Klang Terlibat Program Pemerkasaan Ekonomi

By 30 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/Noriah Athan (Gombak)

RAWANG, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 94 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlibat dalam Program Pemerkasaan Ekonomi KRT dalam mendepani krisis ekonomi yang berlaku sekarang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, berkata projek kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dengan BioLestari bertujuan membantu komuniti KRT menjana pendapatan.

“Sekaligus ia membantu mengurangkan beban golongan yang terjejas dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Ia juga selari dengan seruan Kerajaan Perpaduan untuk membantu rakyat yang terkesan berikutan ekonomi global yang dijangka serius tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di KRT Ivory 1, Bandar Tasik Puteri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli.

Mengulas lanjut, katanya projek rintis tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan menerusi pemantauan kementerian dan BioLestari sebelum diperluaskan kepada KRT seluruh negara.

Katanya, antara projek yang telah diusahakan KRT adalah kebun komuniti, kraftangan, ternakan, katering, jahitan dan produk makanan.

“KRT di seluruh negara diseru sentiasa meningkatkan usaha dan kreativiti untuk meneroka peluang, projek serta program-program baharu yang berimpak tinggi sejajar dengan fokus kementerian untuk membangunkan ‘Komuniti Rahmah’,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda