Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Chenang Mall Pop Up Bazar di Pantai Cenang bakal menjadi tarikan terbaru kepada pelancong tempatan dan asing yang berkunjung ke Langkawi.
Pengarah Pemasaran LadyBoss Event Management, Shasha Tural berkata tujuan bazar ini diadakan di perkarangan Chenang Mall ialah untuk membantu para peniaga tempatan menjana pendapatan mereka.
“Sebanyak 25 gerai yang terlibat dalam program ini menjual pelbagai barangan seperti pakaian, makanan, perkhidmatan dan produk buatan tangan.
“Pantai Cenang merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Maka kami mengambil kesempatan ini untuk menyediakan tempat di mana mereka dapat berbelanja dan mengadakan aktiviti di Pantai Chenang ini,” katanya.
Menurut Shaha Tural lagi, program seperti ini merupakan acara bulanan yang akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.
“Ini merupakan kali kedua kami menganjurkan program seperti ini selepas kali pertama pada bulan Disember lalu sempena sambutan tahun baru,” katanya ketika ditemui, di sini pada Ahad.
Sementara itu salah seorang peniaga Chenang Mall Pop Up Bazar, Wan Shukri Wan Ramli, 45, bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang memberi peluang dan ruang kepadanya untuk berniaga.
“Program ini merupakan penganjuran yang terbaik di Langkawi kerana para peniaga terlibat mendapat pendapatan dan hasil jualan berlipat kali ganda,” katanya.
-ZS-