Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Malam Gala ABRP Hargai Kejayaan Anak Kampung Rantau Panjang

By 10 minit yang laluTiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Klang)

KLANG, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Malam Gala Akademi Bola Rantau Panjang (ABRP) diadakan bagi menghargai kejayaan sepanjang tahun 2022 anak-anak Kampung Rantau Panjang dalam majlis yang berlangsung di  Dewan Palembang Rantau Panjang, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Kampung Rantau Panjang Md Adim Abdul Rahman, beliau berbangga dengan pencapaian ABRP yang merupakan akademi pertama ditubuhkan di Kampung Rantau Panjang bagi melatih anak muda yang meminati sukan bola sepak.

“Saya menyokong penuh usaha Kelab ABRP menubuhkan akademi ini memandangkan penyertaan yang amat menggalakkan dari anak-anak Rantau Panjang khususnya dalam sukan bola sepak dan pada malam ini kami menaja lokasi dan fasiliti untuk menjayakan majlis pada malam ini.

“Saya juga sedang berusaha untuk menyediakan padang bola di Kampung Rantau Panjang ini bagi memudahkan ABRP menjalani latihan dengan lebih selesa dan berharap akademi ini dapat melahirkan pemain bola sepak profesional suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih ABRP Ariff Yaakub berkata, tahun 2022 merupakan tahun yang paling bermakna buat mereka kerana telah mencatatkan kejayaan mendapat tempat ketiga dan keenam di Kejohanan Thailand, Naib Johan di Liga Suparimau serta kejayaan Johan Kumpulan di Liga Milo.

“Saya berpegang kepada slogan dari ‘hero to zero’ untuk melatih anak-anak yang meminati sukan bola sepak dari tidak pandai bermain sehinggalah mereka berjaya.

“Kami bersyukur Kelab ABRP semakin dikenali berdasarkan penyertaan pemain yang semakin meningkat dan kini ABRP sedang melatih lebih kurang 200 orang pemain berumur 8 hingga 17 tahun,” jelas beliau.

-ZS-

Tinggalkan komen anda