Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Ops Selamat 19: Enam Kesalahan Jalan Raya Diberi Keutamaan

By 18 jam yang laluTiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala menegaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan dan kesesakan jalan raya dalam Ops Selamat 19 sempena Tahun Baru Cina bermula 18 hingga 27 Januari ini.

Katanya, kesalahan berkenaan adalah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

“Kesalahan-kesalahan tersebut akan diberi keutamaan semasa penguatkuasaan dalam pelbagai operasi yang akan dilaksanakan.

“Enam daerah pula dikenal pasti mengalami kesesakan teruk adalah di Sabak Bernam (Jalan Klang-Teluk Intan), Kuala Selangor (Jalan Klang-Teluk Intan), Klang Utara (Jalan Klang-Teluk Intan), Hulu Selangor (Jalan KL hala Ipoh), Gombak (Plaza Tol Gombak) dan Ampang Jaya (MRR2),” katanya kepada media selepas melancarkan Ops Selamat 19 peringkat Selangor di Plaza Tol Gombak hari ini.

Menurutnya, Seramai 767 anggota dan 61 pegawai polis akan ditugaskan dalam Ops Selamat 19 yang bertemakan ‘rumah Selamat, selamat sampai ke destinasi’.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan, memastikan rehat yang cukup, tidak tergesa-gesa ke destinasi, membuat penyelenggaraan kenderaan, memandu dengan cermat dan berhati di samping menghormati pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diseru memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah untuk balik kampung dengan menghubungi ibu pejabat polis daerah (IPD) berhampiran,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda