Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Hazirah Rahman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 16 Jan (Malaysiaaktif) — Polis dan Bomba telah bersiap siaga bagi mengawal keadaan dan menjaga ketenteraman awam sempena musim perayaan Tahun Baru Cina minggu hadapan.
Menurut Ketua Polis Iskandar Puteri, YDH ACP Rahmat Ariffin berkata, pihak polis akan membuat rondaan dan pemantauan di sekitar Johor Bahru pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini bagi memastikan setiap kawasan berada dalam keadaan selamat.
“Anggota polis yang bertugas akan membuat pemerhatian secara berkala dengan menggunakan kereta peronda dan motorsikal bagi memantau kawasan perumahan dan premis yang menjadi lokasi ‘hotspot’ berlakunya kes pecah rumah, samun dan sebagainya.”katanya lagi.
Sementara itu, Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang pula berkata, sempena musim perayaan ini, pihak bomba telah membuat pemeriksaan di pusat beli belah dan hotel bagi memastikan sistem keselamatan di premis dalam keadaan baik dan boleh digunakan jika berlaku kecemasan.
“Kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah serta hotel akan padat dengan orang ramai ketika musim cuti panjang dan pihak bomba akan bersiap siaga sepanjang masa jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.” katanya ketika sidang media, semalam.
Pelancaran Kempen Ops Rumah Selamat dan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Peringkat Daerah Johor Bahru oleh PDRM Iskandar Puteri dan Bomba Negeri Johor telah diadakan pada 14 dan 15 Januari 2023 di AEON Mall Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
-ZS-