Laporan/foto: Fasharina Kholil/Noriza Zakeri (Sik)
SIK, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Sik muncul johan dalam pertandingan tarian sempena Mini Karnival@PDK Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Tasik Darulaman, Jitra kelmarin.
Menurut penyelaras tarian PDK Sik Noriza Zakeri, 35, dia bersyukur kerana menerusi program ini para pelatih kurang upaya diberi peluang untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki selain meningkatkan keyakinan serta daya kreativiti pelatih orang kurang upaya (OKU).
“Seramai lima orang pelatih PDK turut serta dalam pertandingan tarian ini bersama enam petugas (guru) PDK.
“Walaupun gerak tari tarian ulik mayang ini agak sukar tapi pelatih berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gerak tari yang diajar,” katanya.
Jelasnya lagi, melihat kepada kelincahan tarian mereka, tiada siapa menyangka mereka adalah pelajar OKU yang mempunyai masalah pembelajaran dan sindrom down.
“Di samping memberikan saingan yang sihat antara kami ia sekaligus dapat mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pelatih-pelatih OKU,” katanya kepada pemberita.
-ZS-