Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Aktiviti Rakit Redah Jeram Cabar Adrenalina

By 17 Januari 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Ipoh)/Eco Outdoors

GOPENG, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Aktiviti rakit redah jeram atau lebih dikenali sebagai ‘white water rafting’ semakin diminati oleh rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan penggemar sukan lasak berasaskan air.

Menurut Pengurus Pemasaran Eco Outdoors, Mohd Amin Ali, aktiviti lasak ini antara sukan air yang mencabar kemampuan dan keyakinan peserta dari segi pengendalian bot terutama ketika meredah dari satu jeram ke jeram lain yang lebih mencabar.

“Sungai Kampar menjadi tumpuan peminat sukan lasak ini kerana laluan mencabar sepanjang tujuh kilometer begitu mengujakan walaupun memakan masa lebih kurang dua hingga tiga jam untuk selesai.

“Laluan ini mempunyai sekurang-kurangnya 14 jeram dengan kederasan air dari gred satu hingga gred tiga selain mampu mencapai sehingga 22 jeram apabila paras aras sungai meningkat,” katanya.

Tambah Mohd Amin, daya ketahanan diri, komunikasi sesama ahli dan disiplin memainkan peranan penting bagi memastikan bot tidak terbalik dan peserta berjaya menamatkan aktiviti ini dengan penuh kepuasan.

Peserta, Khairul Ferdaus Mat Jilid, 57, berkata dia amat teruja apabila berjaya menyahut cabaran redah jeram ini sekaligus membuktikan usia bukanlah penghalang untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Saya beranikan diri untuk tidak berasa takut apabila melihat arus deras walaupun ini merupakan cubaan kali pertama,” katanya yang menyertai Program Pengukuhan Pasukan Jabatan Penerangan Negeri Perak, di sini pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Juhannis Idris, 40, meluahkan rasa gembira dengan pengalaman yang dirasai dan mengakui tidak serik untuk mengulanginya walaupun berhadapan situasi cemas dan menakutkan ketika tercampak keluar dari bot pelampung semasa melakukan aktiviti tersebut.

“Saya tidak tahu berenang. Walaupun berasa cemas, saya tetap berusaha untuk naik ke bot dengan bantuan dan kepakaran jurumudi terlatih,” tambahnya yang mengalami kesan lebam di dagu ekoran kejadian itu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda