
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Ipoh)/FB Saarani Mohamad
IPOH, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menggariskan lima fokus penting untuk mendepani cabaran bagi menjayakan agenda pembangunan negeri sepanjang 2023.
Lima fokus itu ialah meningkatkan hasil dan daya saing ekonomi, memantapkan sinergi dalam sistem penyampaian, mengupayakan sara diri dan kapasiti rakyat, keterangkuman inisiatif dan infrastruktur digital serta memulihara kelestarian alam sekitar.
Bagi menjayakan perkara ini, beliau menyatakan Pelan Perak Sejahtera 2030 berupaya menjadi kompas untuk mengemudi segala perancangan dan tindakan pada 2023 seterusnya tahun-tahun mendatang.
“Saya yakin pelan ini mampu digerakkan seiring dengan gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’ yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini,” katanya ketika berucap di Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2023 bersama penjawat awam negeri di Hotel Casuarina Meru, di sini semalam.
Di bawah fokus memantapkan sinergi dalam sistem penyampaian kepada rakyat, Saarani menyeru supaya penjawat awam dapat menghayati tiga perkara iaitu ‘sense of crisis’, ‘sense of empathy’ dan ‘sense of urgency’.
“Tiga perkara ini saya kongsi bagi memantapkan budaya kerja kita dalam mendepani suasana ekonomi yang tidak menentu serta tuntutan dan ekspektasi rakyat yang semakin meningkat,” katanya lagi.
-ZS-