Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Sabah akan memfokuskan produk pelancongan tempatan di Labuan untuk diketengahkan dan dipasarkan terutama kepada pelancong domestik.
Menurut Pengarahnya Ednie Rahma Ab Rahim,
pelbagai produk tempatan seperti seni pembuatan gasing dan makanan tradisi ambuyat mampu menjadi daya penarik untuk pelancong datang ke pulau itu.
“Kita akan ketengahkan produk-produk yang ada di Labuan dan pelbagai elemen lain seperti budaya dan makanan yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong untuk ke Labuan.
“Jabatan Kraftangan Negeri Sabah juga sedang mengenalpasti produk- produk kraftangan Labuan yang boleh diketengahkan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media Tempatan, di sini semalam.
Tambahnya, industri pelancongan sedang berkembang secara progresif walaupun sedikit perlahan.
“Industri pelancongan masih bergerak aktif namun ada beberapa kekangan yang perlu diatasi oleh semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat penerbangan.
“Tahun ini juga kita ada perancangan khas untuk merancakkan kembali sektor pelancongan di Sabah dan Labuan,” katanya lagi.
-ZS-