Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Bomba Selangor
TAMAN MELAWATI, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Tabur, di sini pada Ahad lalu ditemukan selamat.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata mangsa, S Sangeta, 26 tahun dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 11 pagi hari ini.
Menurut Norazam, mangsa ditemui dalam kawasan gaung pada kedalaman 30 meter selepas terjatuh dari puncak bukit.
“Mangsa dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan akibat terjatuh dalam kawasan gaung.
“Anggota dalam usaha membawa mangsa naik ke tempat selamat,” katanya pada dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad, mangsa dikatakan naik ke Bukit Tabur dari Tabur East pukul 7 pagi sebelum menghubungi adiknya memaklumkan telah tersesat di suatu kawasan tersebut empat jam kemudian.
Norazam berkata, seramai 55 orang pegawai terdiri dari pasukan Multi Skill Team (MUST) JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hutan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dibantu dua anjing pengesan terlibat dalam operasi SAR itu.
-ZS-