
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Yang Azman Mohd Othman
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Bandar raya Kuala Lumpur menyasarkan untuk mencapai sifar HIV (virus kurang daya tahan manusia) menjelang tahun 2030.
Projek Bandaraya Kuala Lumpur Menuju Sifar HIV (KLGTZHIV) yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 merupakan kerjasama pintar antara agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam memperkukuhkan kawalan dan pencegahan HIV ini bertujuan mengakhiri AIDS (sindrom kurang daya tahan penyakit) di Kuala Lumpur pada tahun 2030 namun perlaksanaannya tergendala akibat pandemik COVID-19.
Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Dr Ismawati Ismail berkata, stigma dan diskriminasi terhadap pesakit HIV perlu dihentikan kerana menyebabkan golongan mereka berasa takut dan malu untuk menjalani ujian tersebut. Ini supaya, selain pengesanan awal, ia dapat membantu mencegah penyakit dari terus menular.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Libat Urus Projek KLGTZHIV antara Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam.
“Semua pihak dari pelbagai agensi diharap dapat memberikan kerjasama dalam menyebarkan pengetahuan berkenaan kawalan dan pencegahan bagi merealisasikan Kuala Lumpur menuju sifar HIV menjelang 2030,” katanya.
-ZS-