Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan sebanyak 60 unit rumah percuma akan dibina bagi membantu golongan memerlukan dan benar-benar layak menerusi program Melaka Rumahku untuk tahun ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif terbabit akan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan terutama bagi keluarga yang terkesan akibat bencana seperti kebakaran selain keluarga yang dikenal pasti masih menetap dirumah yang daif dan terlalu usang.
“Menerusi Belanjawan Negeri Melaka 2023, sejumlah RM3 juta diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif Melaka Rumahku dan sebanyak RM50,000 diberikan bagi seunit rumah berkeluasan 800 kaki persegi dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dapur.
“Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dipertanggungjawabkan selaku agensi pelaksana bagi inisiatif ini,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program Melaka Rumahku di Kampung Durian Daun Barat, Lendu, di sini semalam.
-ZS-