Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MPKS Cipta Rekod MBOR

By 25 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Luqman Hakim (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mencipta rekod baharu di dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) menerusi program Hijau Lestari yang berlangsung di Forest Park Bandar Hillpark Puncak Alam, hari ini.

Yang Dipertua MPKS Rahilah Rahmat berkata Program Hijau Lestari merupakan aktiviti menanam pokok siantan yang juga merupakan pokok rasmi MPKS.

“Dalam program ini kita telah menanam sebanyak 25,223 pokok siantan melibatkan 1,500 orang peserta dan mencipta rekod baharu yang pernah dilakukan di Langkawi pada 2014 yang lalu iaitu penanaman 20,200 pokok.

“Jumlah pokok yang ditanam merupakan simbolik kepada tarikh 25 Februari 2023 bagi menyahut saranan Kerajaan Negeri untuk menanam 26 juta pokok dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penganjuran program ini merupakan inisiatif MPKS ke arah sebuah perbandaran yang mampan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan liputan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti daerah Kuala Selangor melalui kawasan-kawasan hijau berdasarkan Rancangan Tempatan MPKS.

Antara program lain turut diadakan Jelajah Ehsan Rakyat iaitu Jualan Jimat melibatkan barang keperluan harian selain jualan trak makanan.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Selangor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda