
Laporan/foto: Luqman Hakim (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Peranan dan tanggungjawab guru-guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sangat penting dalam mendedahkan pendidikan awal kepada kanak-kanak.
Isteri Ahli Parlimen Kuala Selangor Datin Seri Azlin Hezri berkata, golongan berkenaan merupakan insan berjasa yang berkorban masa dan tenaga dalam menunaikan tugas mereka.
“Guru-guru merupakan individu yang berperanan penting dalam mendidik kanak-kanak terutamanya di peringkat usia awal seperti ini.
“Namun, ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru kerana mereka merupakan tonggak dalam mencorak anak-anak di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi melibatkan lebih 600 pelajar Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska)/Tabika Kemas Parlimen Kuala Selangor di Stadium tertutup Kuala Selangor, hari ini.
Majlis berkenaan dimeriahkan dengan persembahan kreatif pelajar-pelajar Tabika Kemas selain bacaan ikrar Rukun Negara dan deklamasi sajak di samping penyampaian hadiah kepada lebih 15 orang kanak-kanak cemerlang Daerah Kuala Selangor.
Turut hadir Pegawai Operasi Kemas Negeri Selangor Sharina Abdul Aziz, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak Parlimen Kuala Selangor Saniah Mahmud dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor Maskor Tumiran.
-ZS-