
Laporan/foto: Wee Kim Been (Pasir Mas)
PASIR MAS, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Seawal pukul 6.50 pagi Pasar Tasek Raja, di sini sudah riuh-rendah dengan tawar-menawar pelbagai hasil pertanian yang segar dalam kalangan penjual dan pembeli.
Kebanyakan pemborong dan penjual di pasar ini memperolehi hasil daripada peraih sempadan negara Thailand, Cameron Highland dan penduduk berdekatan.
Menurut peniaga Noriah Halim, 34, hampir enam tahun beliau membeli hasil pertanian secara pukal daripada pemborong Thailand.
“Kemudia saya akan terus menjualnya kepada peraih dan pengguna dengan harga yang murah dan amat berpatutan.
“Saya masih meraih keuntungan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada waktu ini. Sebagai contoh harga bawang ‘siam’ secara borong yang ditawarkan RM5 sekilogram dan harga jualan kepada pengguna lain sekitar RM9 sekilogram,” katanya.
Dalam pada itu Haslina Jusoh, 48, peniaga kecil berkata pasar borong Tasek Raja ini sememangnya lubuk rezeki.
“Di sini menjadi pasar transit utama hasil pertanian dari Thailand ke setiap pasar yang lain di negeri Kelantan.
“Dari segi jaraknya pula, ia paling dekat dengan sempadan Thailand iaitu hanya 23km sahaja,” katanya.
-ZS-