Laporan/foto: Musliha Yusof/Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 28 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah Batu Pahat bagi menempatkan seramai 5,968 orang mangsa banjir sehingga jam 2.00 petang tadi.
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turut melawat PPS Sekolah Kebangsaan Seri Kota dan Sekolah Kebangsaan (Cina) Yong Peng bagi mendengar taklimat bencana daerah oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali.
Onn berkata banjir yang melanda Johor ketika ini adalah antara yang terburuk pernah dialami negeri ini.
“Punca banjir di Johor yang buruk kali ini disebabkan taburan hujan yang luar biasa dan ini menyebabkan paras sungai utama meningkat mendadak sehingga menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.
“Dugaan ini perlu dihadapi dengan tabah dan bersama-sama lah kita bantu membantu dalam keadaan yang getir ini,” ujarnya.
Beliau turut menyantuni mangsa-mangsa banjir dengan menyampaikan bantuan kewangan Kerajaan Negeri Johor dan keperluan harian.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
-ZS-