
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
KOTA BHARU, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Ayam percik adalah antara makanan pilihan utama di Kelantan yang banyak dijual pada bulan Ramadan ini.
Pelbagai cita rasa dan bentuk ayam percik sama ada masak putih atau merah, rasanya tetap enak.
Seorang pembuat ayam percik, Ayub Seman, 57, yang tinggal di Kampung Gelang Mas, berkata beliau sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan ini.
“Ayam percik ini unik, sedap dimakan bersama juadah hidangan sewaktu berbuka dan bersahur.
“Bila saya bakar dan masukkan ramuan, baunya harum dan menarik minat pelanggan,” ujarnya yang bekerja di Kedai Ayam Percik Kak Jah, Kampung Salor, di sini.
Rakan sekerjanya Dariah Hussin, 63, dari Kampung Lati, Pasir Mas, berpendapat Ayam Percik Kak Jah memang terkenal sejak dahulu dan mendapat sambutan ramai.
“Ini kerana rasanya yang enak dan harga berpatutan.
“Sehari 300 ekor ayam habis dijual dan ada masanya tak cukup,” jelasnya.
Seorang pelanggan, Noriah Hussin, 68, berkata beliau membelinya untuk dikirim kepada anak yang bekerja di Kuala Lumpur.
“Saya beli ni bukan untuk makan sahaja tapi dikirim pos kepada anak di Kuala Lumpur juga, ayamnya lembut tapi tahan lama sebab itulah saya poskan,” katanya sambil beratur menunggu giliran.
-ZS-