Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Iftar dan Tarawih Eratkan Silaturahim

By 28 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi (Muar)

MUAR, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang penduduk telah menghadiri Program Rombongan Iftar dan Tarawih bersama ketua-ketua jabatan di Masjid Nur Iman, Kampung Parit Bugis, di sini semalam.

Program yang dilaksanakan oleh Pegawai Daerah Muar ini dilanjutkan kembali setelah terhenti akibat pandemik COVID-19 bertujuan mengeratkan silaturrahim di antara jabatan-jabatan bersama penduduk setempat.

Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim, berkata Kampung Parit Bugis adalah destinasi pertama program ini dan akan diteruskan pada setiap hari di pelbagai lokasi seluruh daerah sepanjang bulan Ramadan.

“Di program seperti inilah masanya jawatankuasa kampung dan masjid serta penduduk setempat dapat meluahkan isu-isu yang terdapat di kawasan sekitar kepada ketua-ketua jabatan yang hadir,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang Selamat Takim, turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada pihak pengurusan masjid.

Seorang penduduk kampung, Subahir Zakaria, 65, berkata beliau terharu dan sangat berbangga kerana kariah ini dipilih sebagai tempat pertama yang dilawati oleh Pegawai Daerah serta mengharapkan program seperti ini diteruskan demi mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang baik antara ketua-ketua jabatan dan penduduk setempat seterusnya mendekatkan penduduk dengan kepimpinan daerah.

“Kampung Parit Bugis ini sudah terkenal dan telah memenangi pelbagai anugerah pelancongan.

“Justeru, dengan adanya program seperti ini, kepimpinan daerah khususnya diharap dapat memberikan idea dan pandangan untuk sama-sama memajukan ekopelancongan di kawasan ini,” katanya.

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyampaikan Bantuan Hari Raya sebanyak RM4,950 kepada penerima asnaf fakir miskin yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda