Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Internet Pakej Perpaduan Bantu Golongan Sasar

By 1 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Rahimah Rafiai/Norfaizah Adnan

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dengan harga serendah RM30 bermula semalam.

Pakej yang menawarkan 30GB data selama enam bulan dengan kelajuan sehingga 3Mbps akan memberi manfaat kepada golongan belia, B40, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan veteran badan beruniform.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, langkah penurunan harga itu jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik sentiasa dititikberatkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Internet kini bukanlah perkhidmatan mewah tambahan tetapi menjadi keperluan kepada pembudayaan norma baharu selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

“Banyak lagi inisiatif kemudahan telekomunikasi akan diumumkan tidak lama lagi bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan akses internet,” kata Fahmi ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak semalam.

Tambah beliau lagi pakej tersebut membolehkan rakyat menikmati kuota dan kelajuan data internet yang lebih baik pada harga lebih murah berbanding pakej-pakej sebelum ini.

“Pakej tersebut melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda