Laporan/foto: Sufe Fuddin/ Farhana Azlin (Langkawi)/FB Polis Langkawi
LANGKAWI, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi semalam meriah dengan demontrasi pemusnah bom dari IPD Langkawi serta buat julung kalinya dihadiri oleh Kor Kadet Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari dalam ucapannya berkata seluruh warga PDRM harus melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperbaharui ikrar taat setia kepada perlembagaan negara.
“Selari dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ jalinan kerjasama antara semua pihak harus diperkukuh ke arah satu matlamat yang sama demi kesejahteraan masyarakat dan keamanan Negara kekal terpelihara,” katanya.
Antara acara yang diadakan ialah kawalan kehormat berarak keluar, persembahan demonstrasi oleh IPD Langkawi, upacara memotong kek dan penyampaian sumbangan kepada pesara polis.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah merangkap Ahli DUN Ayer Hangat Datuk Johari Bulat dan Pegawai Daerah Langkawi Datuk Abdul Ghaffar Yahya.
-ZS-