Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

KPDN Labuan Tumpaskan Kegiatan Penyelewengan Diesel Bersubsidi

By 27 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan

LABUAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan disyaki diesel dalam satu operasi Ops Tiris di sebuah stor tidak bernombor, di sini hari ini.

Menurut Pengarahnya, Junaidah Arbain hasil serbuan pada jam 12.00 tengah hari itu telah menjumpai dan menyita lebih kurang 44,000 liter minyak dipercayai diesel di dalam dua kenderaan yang mempunyai tangki penyimpanan yang diubahsuai.

“Dua buah kontena berisi minyak disyaki diesel berserta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM94,600.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai pemilik lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Jelasnya, berdasarkan keterangan awal, pemilik stor di lokasi tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen dan Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalihkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan.

“KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Wilayah ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda