Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Masyarakat Diseru Sokong Kempen Pengumpulan E-Waste

By 22 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Masyarakat diseru untuk menyokong Kempen Pengumpulan E-Waste (e-sisa) yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, kempen ini membantu JAS dalam usaha mengurangkan e-sisa dari dilupuskan di tapak-tapak pelupusan sedia ada.

“Ini kerana e-sisa memerlukan pengurusan yang lebih kompleks berbanding sisa pepejal biasa kerana ianya mempunyai komposisi logam-logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen, penebat api (fire retardant) dan sebagainya yang boleh mencemarkan sumber air dan kesihatan kita.

“Kerajaan Malaysia memandang serius dalam memastikan e-sisa diuruskan secara selamat dan berkesan supaya tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat, di samping memperolehi manfaat ekonomi kerana sisa ini juga merupakan satu sumber yang berharga dan negara akan rugi jika ia tidak dimanfaatkan dengan baik,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pengumpulan E-Waste Peringkat Labuan Tahun 2023, di sini semalam.

Tambahnya, antara pendekatan yang diambil dalam pengurusan e-sisa merangkumi penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, mengawal pengimportan e-sisa secara haram, penggalakan aktiviti pemerolehan kembali buangan tersebut dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda