Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Misi Penghantaran Makanan dan Keperluan Tambahan ke Kawasan Terputus Hubungan

By 9 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)

SEGAMAT, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan misi penghantaran makanan, minuman dan keperluan asas tambahan kepada penduduk di sekitar mukim Pogoh yang terputus hubungan jalan darat susulan paras air yang belum surut sepenuhnya.

Misi penghantaran tersebut dilaksanakan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah N.Saraswati turut sama membuat tinjauan bagi memastikan mangsa-mangsa banjir di mukim Pogoh tidak terputus bekalan makanan.

“Saya bersama anggota penguat kuasa telah menggerakkan pasukan untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir menggunakan bot.

“Selain mangsa-mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ada mangsa yang berada di rumah, kami turut menghantar bantuan bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan,” katanya.

Seorang mangsa banjir di Kampung Limau Manis, Rohaya Ahmad, 38, berkata kejadian banjir ini antara yang terburuk selepas situasi yang sama pada tahun 2011.

Fatimah Buang, 67, dari Kampung Tekam berkata kediamannya tidak ditenggelami air namun jalan masuk ke kampungnya masih belum dapat dilalui ekoran kenaikan air dan arus deras.

Setakat jam 8.00 pagi semalam, sebanyak 1,418 mangsa daripada 352 keluarga ditempatkan di 24 PPS di daerah Segamat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda