
Laporan/foto: Asfalila Razak/Shahfiq Aqmal (Sarawak)
DALAT, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Pesta Kaul terus disambut sebagai salah satu usaha untuk memelihara adat etnik Melanau yang merupakan budaya warisan sejak berzaman.
Mengikut kepercayaan masyarakat Melanau “pagan” zaman dahulu, tujuan upacara kaul adalah sebagai simbolik penyembahan kepada kuasa ghaib yang menjaga sesuatu tempat yang dikenali sebagai “Ipok”.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Fatimah Abdullah, berkata sebagai kaum Melanau yang kaya dengan adat dan warisan, kita perlu berusaha untuk maju bukan sahaja dalam bidang budaya bahkan dalam bidang lain supaya kita boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain.
“Pesta kaul perlu terus diraikan supaya kita tidak lupa kepada warisan kita sebagai etnik Melanau walaupun zaman sudah beredar serta kepercayaan yang sudah berubah.
“Namun ada perkara yang boleh diteruskan sebagai tanda penghormatan kepada budaya dan adat resam etnik kita,” katanya ketika ditemui di Kampung Ud, di sini kelmarin.
-ZS-