Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Terminal Bas Labuan Kini Suram

By 11 Mac 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Suasana Terminal Bas Labuan kini kelihatan suram dan lengang akibat kurangnya warga tempatan yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas.

Menurut salah seorang pemandu bas Nordin Wahab, 50, kekurangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka mula dirasai sekitar tahun 2018.

“Keadaan bertambah teruk selepas pandemik COVID-19 dan ini menyebabkan pendapatan kami terjejas teruk dengan hanya memperolehi purata dibawah RM50 sehari bergantung kepada zon atau laluan bas.

“Antara punca masalah ini berlaku adalah persaingan daripada pemandu e-hailing dan lebih ramai warga tempatan mampu memiliki kereta atau motorsikal sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berharap sektor ekonomi, peluang pekerjaan dan pelawat luar yang datang ke Labuan semakin bertambah sekaligus meningkatkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Bagi seorang lagi pemandu bas, Zainee Awang Damit, 65, berharap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan bantuan subsidi bagi pembelian tayar atau alat ganti kenderaan.

“Pendapatan kami merosot hampir 70 peratus dan berharap pihak kerajaan memberi sebarang bantuan bagi meringankan beban memandangkan harga tayar dan alat ganti kenderaan yang semakin meningkat selain membuat pemantauan aktiviti van sapu di sekitar bandar Labuan,” katanya.

Manakala Ismail Hussin, 57, turut meluahkan rasa kekecewaan apabila pemandu bas mini di Labuan sering tercicir dengan sebarang bantuan atau inisiatif yang diumumkan kerajaan.

“Sudah lama kami tidak menerima sebarang jenis bantuan kerajaan seperti bantuan tunai yang selalu diumumkan dalam belanjawan tahunan kerana status kami sebagai pemandu bas mini,” luahnya.

Beliau turut mencadangkan agar pemeriksaan bas oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dilakukan sekali setahun berbanding dua kali setahun sekarang.

“Kami mohon pemeriksaan tersebut dilakukan sekali setahun sahaja kerana perjalanan bas kami tidak sejauh dan sekerap dahulu dalam masa enam bulan sekaligus mengurangkan kos perbelanjaan kami,” ujarnya lagi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda