Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Pejabat ADUN Seberang Takir (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 500 anak Terengganu kelahiran Seberang Takir di perantauan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di Kuala Lumpur Ahad lalu.
Menurut Ahmad Razif, kehadiran ramai anak perantau itu menandakan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Program tahunan ini bermatlamat mendekatkan kepimpinan kerajaan dengan anak Terengganu yang berada jauh di perantauan.
Katanya, kebanyakan mereka keluar mencari rezeki di tempat lain bagi meneruskan kehidupan yang lebih baik.
“Sesi ramah mesra yang diadakan bersama anak perantau ini merupakan peluang yang sangat besar kepada barisan kepimpinan kerajaan untuk mendengar segala pandangan dan cadangan demi kebaikan seluruh rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Pelbagai juadah makanan telah disediakan oleh pihak penganjur seperti nasi khoumok, rendang dimakan bersama ketupat dan lemang, mi kari, aneka jenis colek buah, aiskrim dan kambing golek sepanjang majlis berlangsung.
-ZS-