Skip to main content
Berita TempatanRencana & Pendapat

Ciping Jana Pendapatan Lumayan Penduduk Luar Bandar

By 5 April 2023Oktober 8th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Donny Minggu Ling/Amirul Hafiz Mohd. Farid (Tatau/Bintulu)

BINTULU, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Penghasilan ciping kini menjadi antara sumber rezeki utama penduduk luar bandar di Sarawak, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan melalui usaha tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Warisan Tradisional yang Kekal Relevan

Ciping atau ragi merupakan bahan asas dalam pembuatan tuak, minuman tradisional kaum Iban yang sering dihidangkan dalam pelbagai upacara dan perayaan. Walaupun berasaskan kaedah tradisional, produk ini masih mendapat permintaan tinggi, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Iban tetapi juga di seluruh negeri.

Salah seorang pengusaha ciping berpengalaman, Tuai Rumah (Tr.) Jelia Kuwi, yang juga ketua masyarakat di Tatau, berkata beliau telah terbabit dalam penghasilan dan penjualan ciping selama lebih 20 tahun.“Penghasilan produk ciping bukan sahaja dilakukan oleh keluarga saya sendiri, malah hampir seluruh keluarga di rumah panjang ini mahir serta aktif membuat ciping. Ia menjadi sumber pendapatan utama bagi penduduk di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Permitaan Meluas Hingga ke Semenanjung

Menurut Tr. Jelia, ciping yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan di kawasan sekitar Tatau, malah turut mendapat permintaan dari Sibu, Bintulu, Miri, Batu Niah dan Kuching. Permintaan yang semakin meningkat turut datang daripada pelanggan di Semenanjung Malaysia.

Beliau yang mula belajar membuat ciping sejak di bangku sekolah rendah menjual produknya pada harga antara RM15 hingga RM18 bagi setiap pek seberat 800 gram hingga 1 kilogram, bergantung kepada kualiti dan permintaan semasa.

Sumber Ekonomi yang Mengukuhkan Komuniti

Tambahnya lagi, penghasilan ciping bukan sekadar usaha mencari pendapatan, tetapi juga simbol semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat rumah panjang.

“Musim perayaan dan majlis keramaian biasanya menyaksikan peningkatan permintaan yang ketara. Ia masa yang paling sibuk bagi kami,” ujarnya sambil tersenyum.

Usaha gigih pengusaha seperti Tr. Jelia bukan sahaja membantu mengekalkan warisan tradisi masyarakat Iban, tetapi juga membuktikan bahawa industri kecil berasaskan produk tempatan mampu menjana pendapatan lumayan jika diusahakan dengan tekun dan konsisten.

Bagi yang berminat untuk membuat tempahan ciping, boleh menghubungi Tr. Jelia Kuwi di talian 010-9841575.

-RJ-

Tinggalkan komen anda