Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Iftar@KL Kembali Meriah di Dataran Merdeka

By 10 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Penganjuran Iftar@KL kembali memeriahkan Dataran Merdeka pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Meskipun cuaca hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat ribuan warga ibu kota hadir berbuka puasa beramai-ramai di tengah-tengah Bandar raya Kuala Lumpur.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pusat Seni Budaya Putra kelmarin bertujuan mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah selain mengeratkan silaturahim antara kaum.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, keunikan Iftar@KL adalah ianya dianjurkan di ibu kota.

“Iftar@KL telah mendapat sambutan hebat dan berjaya menarik seramai 350,000 pengunjung sehingga tahun 2019 termasuk pelancong asing yang ingin merasai budaya Islam di Malaysia.

“Jika kita lihat, sambutan dan pengisian program ini cukup baik. Oleh sebab itu, kita bersetuju untuk memperluaskan penganjuran program seumpama ini di seluruh negara,” ujar Khairul Firdaus mengenai hasrat kementeriannya ketika ditemui pada sidang media di sini.

Tambah beliau lagi, selain majlis berbuka puasa turut diadakan pengisian lain seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus al-Quran, tazkirah Ramadan serta ceramah perdana.

“Para pengunjung juga turut disajikan pelbagai pilihan hidangan berbuka puasa dengan jualan kendera saji sepanjang Jalan Raja,” katanya.

Penganjuran Iftar@KL pada kali yang ke-11 berlangsung di Dataran Merdeka berlangsung empat hari pada 8, 9, 15 dan 16 April ini menyasarkan 10 ribu pengunjung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda